Senin, 26 Januari 2009

PRINSIP PENGUASAAN ILMU PENGETAHUAN

Penguasaan ilmu pengetahuan dan pendekatan integratif dalam pendidikan banyak dibicarakan orang. Hal ini bukan saja menuntut perincian tetapi juga kejelasan kandungan dan juga proses aplikasinya. Kemajuan dan pembangunan sesuatu negara banyak bergantung kepada jenis manusia atau modal insan yang dilahirkan oleh sistem pendidikannya.

Dalam konteks pendidikan integratif bukan saja kandungan ilmu perlu diperkukuhkan kembali tetapi juga metodologi pengajaran-pembelajarannya memerlukan tinjauan yang serius. Ilmu yang berasaskan nilai-nilai agama dan nilai-nilai etika perlu diperkukuhkan seiring dengan fokus terhadap merit akademik, sains dan teknologi supaya integrasi antara keduanya menyumbang ke arah penyuburan kualiti holistik pada diri pelajar.

Mendepani globalisasi memerlukan ide-ide berasaskan nilai-nilai agama, falsafah dan tradisi kepercayaan yang bermanfaat supaya kekuatan akhlak dan etika dapat dibina berasaskan acuan kita sendiri. Pendekatan ‘kesalingan’ atau ‘litaarrafu’ yang diungkapkan oleh al Quran (al hujurat :13) memberikan perspektif yang amat menarik tentang mufakat dan perkongsian nilai-nilai baik dan berguna.

Islam mengutamakan ilmu dan wajib dituntut oleh lelaki dan perempuan. Ilmu adalah suluh hidup dan menguasai ilmu bakal memberi jalan kemajuan dan perubahan. Para ilmuan dan ulama’ Islam menguasai pelbagai bidang ilmu, merentasi Ilmu Mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem. Al Quran yang terkandung hikmah dijadikan sumber penting menguasai ilmu dan menyebabkan ilmu yang dilahirkan bermanfaat tetapi juga selaras dengan syariat. Penguasaan ilmu pengetahuan Islam menyumbang kepada umat manusia. Tradisi sains Islam di Andalusia menyebabkan Barat berlomba-lomba menterjemahkan kitab-kitab besar sains, matematik, pengobatan, musik, falsafah dan lain-lain ke dalam Bahasa Latin dan Ibrani dan menyebabkan Barat berhutang ilmu kepada umat Islam. Mereka mengorek kemajuan dan lahirlah tradisi ilmu dan perubahan di Barat dan kemudian memberi kesan kepada umat manusia. Kitab-kitab besar Islam ini digunakan di Barat atau Eropah lebih lima ratus tahun bagi mencetuskan revolusi ilmu di sana. Penguasaan ilmu pengetahuan bersumberkan hikmah (al Quran) terbukti mengangkat martabat umat.

Pembangunan Zaman Pertengahan, Reformasi yang berjalan, ‘Renaissance” yang berlaku dan meledaknya Revolusi Industri yang terjadi menyebabkan Barat melebarkan sayap penjajahannya ke seluruh dunia dan menguasai dunia Islam. Waktu yang begitu lama umat Islam di jajah menyebabkan mereka di pinggirkan dalam arus perkembangan ilmu dan umat Islam umumnya mendekati Ilmu Mengurus Diri dan mulai mengabaikan Ilmu Mengurus Sistem. Akibatnya mereka terus di jajah, malah selepas mencapai kemerdekaan pun orientasi pengilmuan dan pendidikan banyak berorientasikan Barat di mana ilmu tidak lagi bertatahkan nilai dan akhirnya ilmu menjadi sekular dan dualistik.

Para pelajar tidak saja disiapkan dengan asas-asas ilmu Mengurus Diri seperti aqidah, akhlak, tilawah, loghah atau bahasa tetapi juga dengan asas-asas Quran, Hadith dan Tafsir sebagai asas membina Tasawwur yang lebih betul tentang maksud ilmu-ilmu agama. Dalam masa yang sama para pelajar di siapkan dengan subjek-subjek yang berkaitan dengan ilmu Mengurus Sistem seperti Matematik, Sains, Perikanan, Ekonomi, Komputer dan lain-lain, membolehkan mereka menguasai ilmu yang berkaitan dengan pengurusan sistem.

Proses bina insan dalam pengilmuan dan pendidikan, memerlukan pembangunan modal insan yang holistik. Hal perlu dibangun supaya dapat dilakukan secara sistematik. Globalisasi yang menerpa umat Islam kini memerlukan jawaban ilmu dan integrasi dan Islamisasi ilmu kini adalah jawaban terbaik terhadap faktor globalisasi. Konsep umatisasi harus menjadi penyelamat utama proses pengilmuan dan pendidikan.

Proses menghasilkan peribadi unggul (towering personalities) dalam konteks Acuan Sendiri hanya boleh berlangsung sekiranya kita refklektif. Dialog harus disuburkan supaya aspek-aspek kepribadian yang unggul dapat dikembangkan supaya konsep “litaarafu” itu dapat dirasakan dalam membangun ilmu dan pendidikan yang bakal membangun konsep “rahmah alamiah” yang amat dituntut oleh Islam.

Pendidikan ialah proses perubahan insan. Pada tanggapan Barat pendidikan dikaitkan dengan proses pemindahan pengetahuan, ketrampilan dan pengalaman dari guru kepada murid atau dari pensyarah kepada pelajar. Tradisi Islam dalam pendidikan sering menghubungkan pendidikan dengan pembangunan potensi insan. Manusia tidak hanya memiliki kekuatan akal atau minda tetapi Allah mengurniakan manusia dengan potensi rohaniah dan jasmaniah. Ketiga-tiga potensi memerlukan penyuburan yang seimbang. Memberikan fokus kepada pengupayaan akal saja tidak melengkapi sifat pembangunan diri yang menyeluruh. Membangunkan rohani dan jasmani tanpa memberikan fokus kepada akal tidak juga menepati proses pembangunan insan. Menyuburkan kualiti rohaniah, akliah dan jasmaniah secara seimbang adalah pendekatan yang amat serasi dengan proses pembangunan insan (nurturing process).

Fitrah manusia memerlukan nilai sebagai ukurtara mengurus diri dan sistem. Bagi yang memiliki keteguhan beragama, nilai agama menjadi landasan mengurus diri dan sistem. Bagi yang berpedomankan nilai-nilai tradisi dan nilai-nilai semasa aspek etika adalah amat penting. Ianya amat releven dalam masyarakat yang berbilang kerana kecenderungan berinteraksi antara kaum yang berbilang adalah aktif. Tanpa adanya asas nilai dan etika yang memberikan pedoman dan batasan, dinamika sosial tidak akan wujud secara positif. Pendidikan dalam perspektif Islam mengambil kira faktor pembentukan insan dan juga faktor pembangunan sistem. Oleh kerana sifat sistem dinamik berubah, jenis kurikulum dan metodologi pendidikan juga harus mengalami perubahan. Tetapi perubahan dalam pendidikan tetap mengekalkan asas-asas yang fundamental supaya sifat ilmunya berkembang dan mampu menyusuri zaman . Ia menuntut upaya reflektif yang tinggi disamping daya kreatif yang hebat supaya antara faktor tradisi dan kemodenan atau perubahan terdapat titik-temu yang sifatnya sezaman dan mampu mencetuskan ide-idea baru dan metolodologi yang sifatnya mewakili.

Asas ilmu yang diperlukan oleh manusia ialah dua, iaitu ilmu Mengurus Diri dan ilmu Mengurus Sistem. Allah SWT menjadikan insan sebagai suatu unit sistem yang mempunyai hikmah dan peranannya sendiri. Allah kurniakan insan dengan hati dan nafs disamping faktor-faktor inderawi yang berfungsi mentadbir urus diri. Faktor nafs dan hati terkait erat dengan faktor diri yang menghasilkan bawaan dan sifat diri. Sifat baik, amanah, adil, jujur, ikhlas dan lain-lain adalah sifat-sifat hati yang ada pada diri.

Sekiranya tunjangan nafsu itu adalah faktor mutmainnah sifat diri akan lebih jernih. Sekiranya faktor mahmudah atau terpuji lebih menguasai diri, sifat manusia akan menyumbang ke arah kebaikan. Sebab itu proses mendidik Rasulullah SAW sebagai insan contoh banyak bertumpu kepada pembangunan diri. Rasulullah SAW menyebutkan bahawa generasi yang terbina pada zamannya adalah generasi terbaik merujuk kepada kualiti pengurusan diri berasaskan aqidah yang mantap, akhlak yang tinggi dan jihad yang hebat.

Manusia juga memerlukan jenis ilmu yang menyumbang ke arah pengurusan sistem. Manusia dijadikan dengan sifatnya berpasang-pasang, berbangsa-bangsa, berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara. Baik berkeluarga, bermasyarakat, bernegara berkait rapat dengan sistem. Manusia pastinya memerlukan ilmu dan ketrampilan bagaimana sistem harus diuruskan dengan amanah dan baik. Sifat amanah dan baik adalah nilai-nilai yang amat diperlukan oleh manusia.

Walaupun Allah kurniakan manusia hati dan nafs, akal dan pancaindera namun kemampuan anugerah Allah itu tidak segala-gala. Manusia memiliki keterbatasan dalam kemampuan dan keupayaan memahami erti diri, erti persekitaran dan erti faktor-faktor ghaibiyyat yang ada dalam sistem kepercayaannya. Manusia memerlukan pedoman dari Allah SWT yang mencipta dan memiliki alam ini. Tanpa pedoman dan pertunjuk tidak mungkin
manusia mampu memahami makna kejadian dan hikmah disebaliknya.

Oleh itu ilmu dari Allah SWT dengan kekuatan yang ada pada manusia membolehkan manusia tahu letak dirinya sebagai hamba dan khalifah, tahu menggunakan sumber ilmu iaitu al Quran, menjadikan Rasulullah sebagai model peranan dan mengurus sumber rahmah dan ni’mah sebagai amanah utama yang membekalkannya amal soleh. Oleh itu kekuatan tamadun Islam pada masa lalu ditunjangi dengan keupayaan ilmuan-pendidik menguasai ilmu Mengurus Diri dan mengkhusus ilmu Mengurus Sistem dan menyumbang kepada tamadun umat manusia khususnya Eropah. Ilmu-ilmu yang bercirikan nilai-nilai hadhari inilah yang telah menjadi bukti sejarah kebangunan Islam dan umatnya hingga Eropah terhutang ilmu kepada tamadun Islam.

Pendidikan dan proses pengilmuan berkait rapat dengan proses pembangunan manusia. Manusia dibekalkan oleh Allah dengan akal untuk membolehkannya berfikir. Dari berfikir menjadikan manusia tahu, dari tahu menjadikan manusia berpengetahuan, dari pengetahuan menjadikan manusia berilmu dan dari ilmu membolehkan manusia memiliki hikmah. Hikmahlah menjadi martabat tinggi yang membawa suluh dalam kehidupan.

Sejak zaman Nabi Adam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW, risalah kenabian berusaha membawa manusia kembali kepada fitrah. Tidak semua Nabi dan Rasul berjaya sepenuhnya mengajak manusia kembali dan kekal dalam fitrah. Tetapi Nabi Muhammad SAW berjaya membina model pembangunan manusia dan akhirnya model itu mampu menghasilkan tamadun. Jejak-jejak tamadun silam memerlukan upaya reflektif yang tinggi supaya rasa nostalgik kepada keunggulan silam tidak menyebabkan kita alpa bahawa kita menghadapi realiti baru yang memerlukan metodologi baru dan mekanisme baru. Tetapi baru dalam pendekatan Islam tidak harus mengabaikan asas-asas yang fundamental. Faktor syariyyah, fitrah atau faktor nilai umpamanya adalah sesuatu yang amat fundamental dalam proses pembangunan manusia. Sekiranya faktor ini dikembangkan secara kreatif tanpa mengenepikan faktor-faktor yang fundamental yang fitrah sifatnya, maka corak kemajuan, pembangunan dan perubahan terus subur dan berkembang dalam ruh yang fitrah.

Pentingnya diri manusia dibangunkan berasaskan apa-apa sistem pun yang bakal diurus ianya bergantung rapat kepada jenis dan kualiti manusia yang ada. Sekiranya sesuatu itu asalnya tidak baik tetapi diurus. ditadbir atau dikendalikan oleh manusia yang berilmu, berketrampilan dan berakhlak, lambat laun sistem itu akan bertukar menjadi baik. Tetapi sebaik mana sistem yang telah dibangunkan dan dikendalikan oleh orang yang tidak mempunyai ilmu dan ketrampilan yang baik serta kualiti amanah yang rendah, lambat laun sistem itu akan rosak juga kerana ianya tidak dikendalikan oleh orang yang ahli dalam bidangnya. Sebab itu kerosakan yang berlaku dalam hidup ini berpunca dari peribadi-peribadi yang cuba menyisihkan kepentingan nilai dan akhlak dalam pengurusan diri dan sistem dan melihat kebendaan sebagai metlamat dan pengurusan sebagai kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan dan kepentingan diri.

Pembangunan manusia yang bakal mengendalikan pengurusan diri dan sistem bergantung kepada jenis ilmu yang ditawarkan kepadanya dan jenis pendidikan yang diberi. Sekiranya pembangunan ilmu hanya menumpu kepada keperluan akademik dan ketrampilan, fokus pengurusan hanya menumpu kepada sistem dan tidak bermula pada diri. Sebaliknya penekanan kepada pengurusan diri dijadikan keutamaan hingga berlaku kealpaan terhadap ilmu-ilmu pengurusan sistem, ianya menyebabkan ketidakupayaan menguruskan sistem dengan berkesan. Bagi menghasilkan kualiti yang seimbang, ilmu pengurusan diri dengan ilmu pengurusan sistem diintegrasikan supaya hasilnya membawa kualiti sebenar yang diperlukan oleh pembangunan negara.

Kerosakan dan kelemahan yang berlaku dalam sistem samada gejala negatif dalam kehidupan sosial yang semakin menjadi wabak, kecurangan dan salahlaku di banyak peringkat dalam sistem sosial, pendidikan, kewangan, hiburan malah perkembangan teknologi maklumat menyebabkan kita hilang arah akan punca terjadinya dan tidak upaya memilih jalan pulang untuk memulihkannya. Yang jelas terjadi antara lain berakibat lemahnya ilmu pengurusan dan pengawalan diri menyebabkan faktor nafsu-nafsi menjadi pertimbangan yang membawa faedah komersial saja dan membiakkan budaya hedonistik (berpoya-poya) yang merosakkan generasi muda.

Bila disebutkan ilmu mengurus diri ianya berkait dengan bagimana hati dan nafsu yang menghasilkan niat dan tabiat, membentuk sikap dan ‘mind-set’, memandu perlakuan dan tindakan dapat disuburkan dalam keadaan mutmainnah dan mahmudah. Ianya memerlukan input rohaniah yang baik supaya terpancar peribadi yang baik dalam perlakuan dan tindakan. Contohnya pendidikan mengenai aqidah, ibadah dan akhlak bergerak seiring dalam menghasilkan kualiti diri. Pendidikan aqidah dalam ertikata yang luas membawa maksud bukan saja mendidik keyakinan yang bulat bahawa Allah itu Pencipta tetapi juga Allah Maha Berkuasa atas segala dan Maha Perkasa menguruskan alam ini. Keyakinan kental ini harus menghubungkan manusia dengan bukti kekuasaan Allah terhadap rahmah dan ni’mahnya yang dilimpahkan ke alam ini. Antara maksud limpahannya ialah untuk menfaat manusia dan makhluk. Manusia dan makhluk amat memerlukan limpahan dan rahmah dan ni’mah itu.

Umpamanya Allah memberikan manusia rahmah mata, telinga, hidung, tangan, kaki, akal , nafsu dan hati supaya manusia memiliki ni’mah melihat, mendengar, menghidu, bekerja, berjalan, berfikir dan merasa mengenai apa yang ada dalam diri kita dan apa yang ada di luar diri kita. Rahmah dan ni’mah diri ini datangnya dari Allah.

Dalam konteks aqidah apakah mata itu kita gunakan untuk melihat benda-benda yang baik atau maaruf, apakah telinga itu kita gunakan untuk mendengar benda-benda yang elok atau lagha, apakah hidung itu untuk menghidu benda-benda yang harum dan baik atau sebaliknya. Apakah tangan itu digunakan untuk membuat kerja-kerja yang berfaedah dan tidak mungkar. Apakah kaki digerakkan untuk melangkah melakukan kerja-kerja fasad atau merosakkan. Apakah akal berfikir ke arah fahsya’ hingga kufur terhadap ilmu Allah. Apakah nafsu dan hati dirangsang secara haiwani menyebabkan hilang pertimbangan dosa-pahala dan penyebab kepada kerosakan kemanusiaan. Hal ini ditanyakan kerana seluruh rahmah dan ni’mah yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah sumber amanah. Dengan amanah yang tinggi pengurusan diri harus berlaku dengan betul dan bermenafaat.

Kalau aqidah kita kental bahawa rahmah dan ni’mah dalam diri dan pada manusia itu datangnya dari Allah, pemenafaatannya sudah pasti dihubungkan sebagai sumber ibadah. Dan bila ibadah ini berlaku dengan pedoman akhlak yang baik, ia bakal diterima sebagai amal soleh. Amal solehlah yang bakal mengembalikan manusia kepada Tuhannya dalam keadaan yang diterima.

Rahmah dan ni’mah Allah juga banyak terdapat di luar diri manusia. Udara yang bertebaran, air yang mengalir dan meresap, pokok yang tumbuh, haiwan yang hidup, pertroleum dan gas yang terpendam di perut bumi, pohon-pohon yang hijau, gunung-ganang sebagai pasak-pasak bumi adalah antara sumber rahmah dan ni’mah yang amat kaya dikurniakan Allah. Manusia yang memiliki kekuatan dalaman dan luaran dan terbukti mampu mengurus diri memerlukan ilmu untuk mengurus persekitaran dan sistem. Tanpa udara manusia akan mati. Tanpa air manusia dan kehidupan yang lain akan dahaga. Tanpa pokok manusia tidak akan ada sumber makanan. Tanpa haiwan yang boleh dimakan, manusia ketiadaan zat makanan. Tanpa petroleum dan gas manusia ketiadaan bahan tenaga dan bahan bakar. Tanpa gunung-ganang sebagai pasak-pasak bumi , akan hilang perimbangan terhadap mukabumi. Soalnya bagaimana semua itu dapat difahami oleh manusia kehadirannya tanpa menguasai ilmu-ilmu dalam menguruskan sistem.

Pasti rahmah dan ni’mah itu akan disalahguna atau tidak tahu untuk digunakan dengan betul. Islam dalam membangunkan tamadun menekankan kepentingan pedoman atau hudan dan pertunjuk dari yang Maha Berkuasa (SIGNS) untuk membangunkan tradisi SCIENCE supaya integrasi antara keduanya akan membawa pedoman, amanah dan perimbangan dalam memenafaatkannya.

Pada hakikatnya al Quran tidak hanya ditanzilkan dan bersifat textual tetapi ianya merojok kepada kontekstual (realiti). Pertujuk dan pedoman Allah itu tidak lahir dalam kekosongan malah al Quran membentuk watak insan supaya memiliki kualiti diri untuk mengurus diri dan sistem supaya ianya berlaku dalam konteks amanah. Malah alam ini sendiri, segala khazanah yang ada padanya, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup manusia dan kemanusiaan adalah gambaran tentang ayat-ayat Allah. Sebab itu al Quran memaparkan banyak kisah-kisah tentang kehidupan manusia pada masa lalu untuk dijadikan iktibar atau ibrah supaya kesilapan lalu jangan diulangi lagi. Sayangnya apabila manusia lari dari peringatan Allah, putus dari pedoman dan pertunjuk Allah, manusia hilang arah dan natijah akhirnya ialah mendukung kerosakan di bumi dan di langit akibat perbuatan tangan-tangan sendiri.

Oleh itu amat penting ilmu Mengurus Diri (fardhu ain) dan ilmu Mengurus Sistem ( fardhu kifayah) diintegrasikan kerana proses pendidikan ingin melahirkan manusia holistik supaya potensi aqliah , rohaniah dan jasmaniah dapat disuburkan secara seimbang dan harmoni. Metlamat inilah yang bakal melahirkan insan beradab. Beradab disini merujuk kepada kemampuan melakukan disiplin minda, disiplin nafs dan hati dan juga disiplin ketangkasan. Ketiga-tiga disiplin ini memerlukan proses dan metlamat membangunkan adab insan bermula dengan membangunkan hati dan pengawalan terhadap nafs. Dalam masa yang sama pedoman wahyu bakal memandu manusia meneroka dan memahami kewujudan rahmah dan ni’mah Allah supaya lahir tradisi sains yang tauhidik dan penghasilan teknologi yang memberi menfaat kepada manusia. Sekiranya integrasi seperti ini dapat dilakukan, kualiti manusia yang bakal dilahirkan dalam sistem pendidikan bukan saja mampu mengurus diri dengan nilai-nilai yang baik tetapi dalam masa yang sama dapat mengurus sistem dan persekitarannya dengan pedoman sains dan teknologi yang bermenfaat. Inilah ciri-ciri hadhari yang boleh menjadi landasan perkembangan tamadun.

Ilmu Mengurus Diri yang secara tradisinya disebut sebagai ilmu fardu ain dan ilmu Mengurus Sistem yang secara tradisinya disebut sebagai ilmu fardhu kifayah adalah amat penting bagi manusia Islam dan umat manusia yang lain.
Sifat rahmah alamiah yang didukung dalam risalah kerasulan memberikan perspektif yang amat luas dalam proses pembinaan ilmu yang integratif. Pemisahan antara keduanya boleh menghasilkan pembinaan sahsiah atau personaliti yang tidak seimbang dan boleh menyebabkan peranan mereka juga menjadi pincang. Al Quran yang diturunkan kepada umat manusia menerusi Rasul Muhammad SAW adalah pedoman terbaik memandu manusia bagaimana diri harus diuruskan dan sistem patut dikendalikan. Pendidikan aqidah, adab dan akhlak yang menjadi sumber kekuatan ibadah sewajarnya menjadi ilmu utama difahami dan dihayati. Tanpanya manusia akan hilang kekuatan diri bagi mengenal hikmah kejadian, hikmah penciptaan, hikmah peranan malah hikmah rahmah dan ni’mah itu sendiri. Ilmu mengurus diri apabila mantap dalam kefahaman dan penghayatan bakal memberikan kekuatan dalaman manusia dan interaksi dengan faktor di luar dirinya akan menjadi lebih mantap.

Ilmu Mengurus Sistem berkait rapat bagaimana rahmah dan ni’mah Allah diurus. Semua sumber-sumber yang Allah kurniakan baik yang bersifat benda, komoditi, khidmat dikaitkan dengan kualiti amanah. Amanah sumber amat penting diuruskan dengan adil dan bijaksana kerana metlamat akhirnya pengurusan sumber tersebut adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia dan alam ini (yanfaunnas). Bayangkan kerosakan yang berlaku kepada manusia dan alam ini adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia yang sudah melampaui batas. Manusia sudah tidak dapat mengimbangi antara sumber alam yang menjadi amanah Allah dengan keserakahan nafsu untuk memperlihatkan tabiat diskriminatif, eksploitatif dan monopoli yang tinggi. Nilai-nilai manusiawi menjadi semakin pupus. Ilmu alat seperti sains dan teknologi digunakan untuk mengukuhkan lagi hegemoni dan menghukum mereka yang berani menentang dan akhirnya dunia diheret dalam kancah globalisasi yang memaksakan proses pemBaratan dalam bentuk ‘penjajahan baru’ yang amat meresahkan banyak pihak khusus nya umat Islam.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar

Bagi yang mengunjungi blog ini harap jangan lupa untuk memberikan komentar, karena dengan komentar anda kami bisa berbuat semakin lebih baik